JUN 2023

Premier: RM50 Juta Bagi Laksana Pembinaan Jalan Pusa Link


PUSA, 3 Jun: Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg telah bersetuju meluluskan peruntukan kira-kira RM50 juta bagi melaksanakan pembinaan Jalan Pusa Link. 

Beliau berkata jalan penghubung itu akan menghubungkan Pejabat Daerah baharu Pusa ke pekan Pusa dengan jalan yang lebih besar dan selesa setelah diberi taklimat oleh Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli. 

“Kerajaan juga bersetuju untuk membina jalan pesisir yang menghubungkan Pejabat Daerah Pusa baharu yang bernilai RM50 juta. Dengan adanya jalan ini, barulah jalan kawasan perkampungan boleh dibesarkan dengan kemudahan yang ada,” kata beliau. 

Beliau juga berkata Daerah Pusa yang baru dinaikkan akan mempunyai kompleks pentadbiran baharu yang dilengkapi kemudahan IT terkini. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Gawai Raya 2023 Peringkat Parlimen P.201 Batang Lupar di Dataran Tandang Sari, di sini hari ini. 

Beliau juga berkata bahawa menerusi Lembaga Pembangunan Sagu dan Nipah akan menjalankan penyelidikan saintifik dan menyelia pembangunan industri nipah dan sagu dan juga membuat kajian penghasilan garam dan gula berasaskan nipah dan apong dalam usaha meningkatkan pendapatan serta mempromosikan produk tempatan kepada pihak luar.

“Kita juga sedang menjalankan kajian untuk melihat sama ada projek di Mukah boleh dilaksanakan di Batang Saribas kerana Saribas mempunyai banyak pokok nipah. Dengan adanya kajian itu, ia mampu memberi nilai tambah kepada industri berkaitan sawit,” katanya. 

Turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datu Dr Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Parlimen Betong, Dr Richard Rapu dan kenamaan yang lain. -Sarawakku

Sumber dari : Sarawakku